Thursday 17 July 2008

Fitnah Dajjal Laknatulloh

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Sesungguhnya Umar bin al-Khattab telah bertolak bersama
Rasulullah s.a.w dan beberapa orang Sahabat (sekumpulan Sahabat yang tidak lebih dari sepuluh orang) ke perkampungan
Ibnu Soyyad. Setibanya baginda di sana, baginda s.a.w mendapati beliau sedang bermain dengan beberapa orang kanak-kanak
lelaki di tepi binaan yang tinggi kepunyaan Bani Maghalah. Ketika itu Ibnu Soyyad hampir baligh. Ibnu Soyyad tidak
menyadari kedatangan Rasulullah s.a.w sehinggalah Rasulullah s.a.w menepuk belakangnya dengan tangan lalu bertanya
kepada Ibnu Soyyad: Adakah engkau bersaksi bahawa aku ini Rasulullah? Ibnu Soyyad melihat kepada Rasulullah s.a.w dan
berkata: Aku bersaksi bahawa engkau Rasul (utusan) para Ummiyyin (tidak pandai membaca dan menulis). Ibnu Soyyad bertanya
kepada Rasulullah s.a.w: Adakah engkau bersaksi aku adalah utusan Allah? Rasulullah s.a.w enggan (tidak mengakuinya)
lalu baginda bersabda: Aku hanya beriman dengan Allah dan para RasulNya. Kemudian Rasulullah s.a.w bertanya lagi:
Apa yang engkau nampak (tentang perkara-perkara ghaib)? Ibnu Soyyad berkata: Datang kepadaku berita benar dan berita bohong.
Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: Engkau tidak dapat membezakan antara keduanya. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda lagi:
Sesungguhnya aku telah menyembunyikan sesuatu darimu supaya engkau boleh memberitahuku benda tersebut. Ibnu Soyyad berkata:
Dukh, iaitu sejenis asap. Lalu Rasulullah s.a.w terus memotong cakapnya dengan menyebut: Ikhsa' (iaitu perkataan menghardik
seperti bunyi menghalau anjing). Engkau tidak mampu mengetahui perkara-perkara ghaib dengan semata-mata kuasa yang ada pada
engkau kerana semua itu adalah pemberian Allah. Lalu Umar bin al-Khattab berkata: Wahai Rasulullah s.a.w! Biarkan aku
memenggal lehernya. Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya benar dia adalah Dajjal maka engkau tidak mampu membunuhnya dan
sekiranya dia bukan Dajjal maka tiada sebarang kebaikan membunuhnya.

Salim bin Abdullah berkata: Aku telah mendengar Abdullah bin Umar menceritakan
bahawa Rasulullah s.a.w bersama Ubai bin Kaab al-Ansari ke sebuah kebun tamar. Di dalam kebun tamar itulah Ibnu Soyyad
berada. Apabila Rasulullah s.a.w memasuki kebun itu, baginda segera bersembunyi di belakang pelepah tamar.
Baginda bersembunyi supaya boleh mendengar apa yang diucapkan oleh Ibnu Soyyad tanpa dilihat (diketahui) oleh Ibnu Soyyad.
Maka Rasulullah s.a.w telah melihat Ibnu Soyyad sedang mengiring di atas hamparan yang dianyam dari kapas sambil
mengeluarkan suara yang tidak difahami. Tiba-tiba ibu Ibnu Soyyad ternampak Rasulullah s.a.w yang sedang bersembunyi di
belakang pelepah tamar, lalu dia memberitahu Ibnu Soyyad: Wahai Sof! Sof adalah nama Ibnu Soyyad. Ini Muhammad,
lalu Ibnu Soyyad bangkit. Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya ibu Ibnu Soyyad membiarkannya nescaya akan nyata siapakah
sebenarnya Ibnu Soyyad. Salim menceritakan bahawa Abdullah bin Umar berkata: Maka Rasulullah s.a.w berdiri ditengah-tengah
orang ramai lalu memuji Allah dengan apa yang layak bagiNya, kemudian memperkatakan tentang Dajjal, sabdanya:
Sesungguhnya aku memperingatkan kamu tentang Dajjal dan semua para Nabi sebelum ini memperingatkan kaumnya mengenai Dajjal.
Nabi Nuh telah memperingatkan kaumnya tentang Dajjal, tetapi aku terangkan kepada kamu sesuatu yang belum pernah diterangkan
oleh para Nabi sebelum ini kepada kaumnya. Ketahuilah, sesungguhnya Dajjal itu buta sebelah matanya, sedangkan Allah Maha
Suci lagi Maha Luhur dan tidak buta.

Diriwayatkan daripada Huzaifah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Dajjal ialah orang yang buta matanya sebelah
kiri, lebat (panjang) rambutnya serta dia mempunyai Syurga dan Neraka. Nerakanya itu merupakan Syurga dan Syurganya pula
ialah Neraka Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Perhatian! Aku akan
menceritakan kepada kamu tentang Dajjal apa yang belum diceritakan oleh Nabi kepada kaumnya. Sesungguhnya Dajjal
itu buta sebelah matanya. Dia akan datang membawa bersamanya seperti Syurga dan Neraka. Syurga yang didakwa oleh Dajjal itu
sebenarnya adalah Neraka. Aku memperingatkan kamu (dalam masalah Dajjal) sebagaimana Nabi Nuh memperingatkan kaumnya

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah menceritakan kepada kami pada satu hari,
cerita yang panjang tentang Dajjal. Antara perkara yang baginda ceritakan kepada kami ialah sabdanya: Dajjal akan datang
sedangkan dia tidak dapat memasuki jalan-jalan dan lereng-lereng bukit di Madinah maka dia berhenti di kawasan tanah yang
masin dan gersang (tiada tumbuhan) yang terletak selepas Madinah. Maka keluar pada hari itu seorang lelaki yang paling
baik atau (keraguan rawi) antara manusia yang baik lalu lelaki itu berkata kepada Dajjal: Aku bersaksi sesungguhnya engkau
ini adalah Dajjal sebagaimana yang telah diceritakan oleh Rasulullah s.a.w dalam Hadisnya. Dajjal pun bertanya: Apa pendapat
kamu sekiranya aku mematikan yang ini kemudian aku menghidupkannya semula. Adakah kamu ragu-ragu tentang masalah itu.
Lelaki itu menjawab: tidak. Maka Dajjal telah membunuhnya kemudian menghidupkannya semula. Lalu lelaki itu berkata sebaik
sahaja Dajjal menghidupkannya: Demi Allah. Aku lebih mengetahui tentang dirimu sekarang ini dari apa yang aku tahu kelmarin.
Abu Said menyambung lagi: Dajjal ingin membunuh lelaki itu tetapi tidak berjaya.

Diriwayatkan daripada al-Mughirah bin Syu'bah r.a katanya: Tiada seorang pun yang bertanya kepada Nabi s.a.w tentang Dajjal
lebih banyak daripada apa yang aku tanya. Rasulullah s.a.w bersabda: Apakah yang menyusahkan kamu. Dia tidak boleh memberi
sebarang kemudaratan kepada kamu. Aku berkata: Wahai Rasulullah! Mereka berkata, dia (Dajjal) mempunyai makanan dan sungai.
Nabi bersabda lagi: Dia merupakan makhluk yang paling hina kerana boleh menipu para mukmin dengan nikmat yang diberikan oleh
Allah kepadanya.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada negara (dalam dunia) melainkan akan
dipijak (dilanda) oleh Dajjal kecuali Mekah dan Madinah kerana setiap jalan dan lereng bukit dijagai oleh barisan Malaikat.
Oleh itu Dajjal akan turun (berhenti) di satu kawasan bernama Sibkhah (tanah kering lagi masin) maka Madinah bergegar
sebanyak tiga kali, kemudian semua para Kuffar (orang kafir) dan para Munafiq keluar dari Madinah menemui Dajjal.

Ya Alloh yaa Robb, lindungilah kami semua dari fitnah dajjal laknatulloh... Amiien...

Salam
LaBrie Fatahilah

Ilmu merupakan harta abstrak titipan Allah Subhanahu wata'ala kepada seluruh manusia yang akan bertambah bila terus
diamalkan, salah satu pengamalannya adalah dengan membagi-bagikan ilmu itu kepada yang membutuhkan.
Janganlah sombong dengan ilmu yang sedikit, karena jika Allah Subhanahu wata'ala berkehendak ilmu itu akan sirna dalam
sekejap, beritahulah orang yang tidak tahu, tunjukilah orang yang minta petunjuk, amalkanlah ilmu itu sebatas yang engkau
mampu.

No comments: